Utusan Malaysia
[05/10/2006] - Dalam Negeri
Kes tipu: Dua Datuk tiada kaitan Swiss Cash
Oleh SOPI SAMAILE
KUALA LUMPUR 4 Okt. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf hari ini menjelaskan kes penipuan
yang membabitkan dua orang Datuk semalam tiada kaitan dengan skim
pelaburan Swiss Cash atau Swiss Mutual Fund.
Katanya, ia melibatkan dana bank Union Swiss yang tiada kaitan
dengan pelaburan Swiss Cash.
Swiss Cash ialah satu skim pelaburan luar pesisir yang urusniaganya
dilakukan menerusi Internet.
Mengulas lanjut mengenai kes itu, beliau berkata, dua Datuk yang
menjadi dalang dana bank Union Swiss melibatkan penipuan berjumlah
RM20 juta itu mengugut para pelabur yang telah sedar mereka tertipu
akan ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) jika mendedahkan
perkara itu kepada polis.
Ini kerana, dua Datuk terbabit mendakwa pelaburan yang mereka
jalankan adalah projek kerajaan dan sebab itu pendedahan oleh
mana-mana pihak akan menyebabkan mereka ditahan di bawah akta
berkenaan.
Disebabkan itu, para pelabur tidak berani untuk melaporkan penipuan
yang dilakukan oleh sindiket terbabit malah ada juga yang bimbang
sekiranya wang yang telah dilabur hangus begitu sahaja sebaik
perkara itu dilaporkan kepada polis.
Bagaimanapun beliau berkata, kegiatan sindiket itu mulai terbongkar
selepas empat laporan polis dilakukan terhadap dua Datuk tersebut
pada September lalu.
Para pelabur sebelum ini telah dijanjikan oleh sindiket berkenaan
bahawa dividen akan dibayar pada November tahun lalu namun sehingga
kini satu sen pun tidak dibayar.
Sindiket itu memberi pelbagai alasan setiap kali diajukan
mengenai bayaran dividen sehingga para pelabur tidak tahan lalu
membuat laporan polis, katanya pada sidang akbar di pejabatnya,
di sini, hari ini.
Ramli berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan operasinya sejak
tahun 2000 dan modus operandi mereka pula ada gaya ala Pak Man
Telo dengan menjanjikan pulangan lumayan sehingga 35 peratus atau
dalam kata lain keuntungan 50 kali ganda daripada jumlah yang
dilaburkan.
Selain itu, katanya, sindiket berkenaan mendakwa mereka telah
mendapat kelulusan Bank Negara untuk menguruskan wang kononnya
milik kerajaan pada zaman British yang berjumlah trilion ringgit di
bank Union Swiss itu untuk dibawa pulang ke negara ini.
Bagaimanapun, syarat untuk membawa pulang wang itu perlu dilakukan
oleh individu-individu yang melakukan pelaburan dengan sindiket
terbabit kerana urusan menerusi saluran bank tidak diterima.
Malah, urusan pelaburan sindiket itu juga dalam bentuk tunai
kerana untuk mempercepatkan proses pelaburan berbanding dengan
penggunaan cek yang terpaksa memakan masa.
Selepas melakukan penyerahan wang pelaburan, sindiket terbabit
akan memberi sebuah buku cek (palsu) kepada pelabur untuk digunakan
mengeluarkan dividen kelak, katanya.
Ramli memberitahu, dua Datuk terbabit berjaya ditahan di sebuah
hotel bertaraf lima bintang di ibu negara sewaktu sedang berurusan
dengan mangsanya pada pukul 1 petang malah polis turut merampas
wang tunai sebanyak RM325,000.
Menurutnya, pada hari yang sama juga, polis telah menahan beberapa
orang yang berkaitan dengan kes itu dengan kesemua yang ditahan
berjumlah 18 orang berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun, namun
selepas siasatan dilakukan, sembilan daripadanya telah
dibebaskan.
Polis percaya ramai lagi pihak yang telah ditipu sindiket
berkenaan dan pihaknya akan membekukan kesemua akaun sembilan
suspek di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA)
2001, ujarnya.
Difahamkan, dua Datuk terbabit iaitu seorang presiden dan seorang
lagi naib presiden sebuah syarikat menggunakan syarikat terbabit
untuk mengendalikan kegiatan penipuan itu.