17 Apr 2013
Beri remaja hak tunjuk jati diri
SAYA amat kurang senang dengan pandangan yang disuarakan oleh Encik
Aman Samat, Banggakah anda sebagai Melayu ketika berada di Geylang
Serai? (BH, 13 April).
Pertama-tama, setiap pandangan negatif yang dilemparkan terhadap
mana-mana golongan, termasuk generasi muda masyarakat Melayu
Singapura, harus disokong dengan bukti-bukti kukuh.
Ini bagi membantu perbincangan yang diadakan agar menjadi lebih
berguna dalam usaha memajukan masyarakat Melayu setempat. Encik
Aman tidak berbuat demikian.
Sebaliknya, "trend yang tidak sihat" dipraktikkan oleh golongan
muda di mana "sikap, pakaian, gaya, adab" yang dipaparkan tidak
mencerminkan jati diri bangsa Melayu hanya bersumberkan pemerhatian
Encik Aman.
Golongan muda masyarakat Melayu setempat harus diberi peluang serta
kebebasan memilih cara mencerminkan kebanggaan jati diri Melayu
yang tidak terikat pada ciri-ciri luaran dan tertentu. Ini hak
mereka.
Apabila melahirkan rasa bangga jati diri sebagai bangsa Melayu,
kita harus sedar dan faham bahawa entiti bangsa Melayu itu sendiri
mencakupi pelbagai pengaruh budaya dari seluruh nusantara; dan
lebih penting pemahaman bahawa usaha memelihara budaya harus selari
dengan peredaran masa - ia tidak statik.
Seterusnya, Geylang Serai tidak akan "dicintai" oleh semua orang
dalam masyarakat Melayu setempat. Ini satu kenyataan. Ia tidak
boleh dipaksa, terutama sekali ke atas generasi muda.
Pada masa yang sama, bagaimana dengan tempat-tempat lain, seperti
Kampung Glam, yang dibanggakan oleh golongan lain dalam masyarakat
Melayu?
Lebih mustahak, pengakuan serta kebanggaan golongan muda sebagai
bangsa Melayu terus dipupuk dan tidak diikatkan pada sesuatu
tempat, seperti Geylang Serai.
"Mercu tanda jati diri Melayu" tidak terikat hanya pada sesuatu
tempat atau ciri-ciri luaran yang tidak boleh dinafikan serta
dielak daripada dilanda perubahan mengikut peraliran
zaman.
Ditinjau setapak lagi, persepsi sempit sebegini yang lantang
disuarakan oleh segolongan masyarakat Melayu tempatan, seperti
Encik Aman, hanya akan merugikan masyarakat Melayu pada jangka masa
panjang.
Helmy Sa'at