Some Simpulan Basa untuk Sekolah Menengah for fun:
Haiwan
ANJING
Anjing Kurap
Makna: Seseorang yang dihina oleh orang lain lantaran
kemiskinannya
Contoh:
(a) Telah lama jiran saya yang dianggap anjing kurap itu disisih
oleh orang lain.
(b) Jangan sesekali menghina orang lain dengan panggilan
anjing kurap.
AYAM
Ayam denak
Makna: Ayam yang dipelihara untuk tujuan memikat ayam yang
lain.
Contoh:
(a) Ayam yang saya pelihara di dalam reban ini sebernarnya
ayam denak.
(b) Ayah telah menyembelih kesemua ayam daging yang dipelihara
selama ini tetapi terdapat seekor lagi ayam yang tidak akan
disembelih oleh ayah kerana ayam itu ialah ayam denak.
Ayam didik
Makna: Orang yang dilatih untuk menggantikan kedudukan orang
berkenaan suatu hari nanti.
Contoh:
"Murid-murid sekalian, mulai hari ini saya akan jadikan Ali sebagai
ayam
didik saya. Saya berbuat demikian kerana Ali
sememangnya layak untuk menggantikan tempat Ismail sebagai ketua
tingkatan. Murid-murid sekalian telah sedia maklum bahawa Ismail
akan bertukar sekolah tidak lama lagi kerana mengikut ayahnya yang
bertukar kerja," demikian kata Cikgu Rukiah kepada murid-murid
kelas 3A.
Ayam jalak
Makna: Orang yang berani.
Contoh:
Pesan Cikgu Shariff, "Demi menempuh hari muka yang penuh dengan
cabaran, murid-murid sekalian haruslah ikut resmi ayam jalak. Jangan pula
menjadi seperti anjing yang suka menyembunyikan ekornya. Hidup ini
sesungguhnya memerlukan orang yang berani."
Ayam tambatan
Makna: Seseorang yang amat diharapkan membawa kejayaan dalam
pertandingan yang disertai.
Contoh:
Dalam pertandingan bola sepak Piala Segamat. Rama dan Khalil
merupakan ayam
tambatan mereka.
Ayam wangkang
Makna: Seseorang yang bukan ahli dalam sesuatu perlawanan atau
pertandingan.
Contoh:
(a) Patutlah dia kalah, sebernarnya dia hanya ayam wangkang dalam
pasukan itu.|
(b) Tuan: Saya rasa elok kita keluarkan sahaja Si Mamat tu. Saya
berpendapat dia hanyalah ayam
wangkang sahaja.
Zamri: Saya pun bersetuji dengan pendapat Tuan.
Buta ayam
Makna: Tatkala menjelang senja, mata mulai kabur.
Contoh:
(a) Saya lebih suka tinggal di rumah daripada ke rumahnya pada
senja ini, sememangnya saya buta ayam.
(b) Salleh: Tak usahlah ajak Rus ke sini petang-petang begini. Dia
tu buta
ayam.
Amin: Saya tak tahu pula dia begitu.
Salleh: Sudah lama dia menpunyai penyakit itu. Apabila senja
pandangannya pasti kabur.
Cakar ayam
Makna: 1. Tulisan seseorang yang buruk. 2. Tulisan yang
sukar dibaca.
Contoh:
(a) Susahnya jika saya hendak membaca hasil tulisannya kerana
tulisannya sememangnya cakar ayam.
(b) Murid-murid sekalian, saya mendapati di dalam kelas ini masih
terdapat banyak murid yang buruk sekali tulisannya, umpama kata
simpulan bahasa cakar
ayam.
Hangat-hangat tahi ayam
Makna: Tidak bersungguh-sungguh melakukan sesuata pekerjaan.
Contoh:
"Ah, saya faham benar dengan sikap Kamal tu, dia hanyalah
hangat-hangat tahi
ayam sahaja."
Kaki ayam
Makna: Tidak memakai alas kaki, contoh, kasut.
Contoh:
Masih saya ingat, sewaktu kecil, tatkala saya bermain bola, saya
pasti akan berkaki
ayam.
Tidur ayam
Makna: Tidur yang belum nyenyak.
Contoh:
Kejutkanlah dia, sebenarnya dia selalu tidur ayam sahaja.
BABI
Babi buta
Makna: 1. Melulu. 2. Terburu-buru.
Contoh:
Dalam menangani sesuatu, kita janganlah bertindak membabi buta. Bertindaklah dengan
menggunakan akal dan fikiran. Tidak ada kusut yang tidak dapat
dileraikan.
Gila babi
Makna: Sejenis penyakit sawan.
Contoh:
Kasihan Si Hanin, dah lama dia mengidap penyakit gila babi, puas sudah ibunya
cuba berubat, namun belum berjaya.
BADAK
Badak sumbu
Makna: Seseorang yang bersikap atau berkelakuan tidak
senonoh.
Contoh:
(a) "Janganlah kalian bersikap badak sumbu di depan
orang ramai, malu kita dibuatnya," demikian nasihat ketua jurujual
kepada pembantu-pembantunya.
(b) Anak: Apakah itu badak?
Ayah: Sejenis binatang mamalia. Binatang ini digolongkan dalam
keluarga Rhinocerotidae.
Anak: Jadi ayah, apa pula kaitan simpulan bahasa badak sumbu dalam
kehidupan kita?
Ayah: Simpulan bahasa ini mengingatkan kita agar menjaga kelakuan
kita tidak kira di mana juga kita berada.
Pekak badak
Makna: Betul-betul pekak.
Contoh:
Telah tiga kali saya memanggil namanya, rasanya dia memang
pekak badak.
BIAWAK
Lidah biawak
Makna: Percakapan yang sering berubah-ubah.
Contoh:
Nada Cikgu Lim semakin meninggi, "Awak ni sememangnya pembohong.
Cerita awak berubah-ubah. Betullah kata kawan-kawan awak, awak
sememangnya lidah
biawak.
BUAYA
Buaya darat
Makna: Lelaki yang selalu suka mengusik perempuan.
Contoh:
(a) Jangan berkawan dengan Pilus, dia sememangnya seorang lelaki
buaya darat.
(b) Ani: Tengok tu, buaya
darat itu sedang mencari mangsa.
Ija: Siapalah agaknya yang bakal menjadi mangsanya.
CACING
Cacing gila
Makna: 1. Meronta-ronta. 2. Perempuan lincah.
Contoh:
Aku sekadar mampu melihat Kak Tina seperti cacing gila selepas
dipercayai terkena histeria.
Cacing kepanasan
Makna: 1. Tidak dapat bertenang setelah perbuatannya
diketahui orang lain. 2. Gelisah.
Contoh:
(a) Kini Riani seperti cacing kepanasan, maklumlah
ada orang yang telah memberitahu Tuan Pengetua tentang
kegiatannya.
(b) Abang seperti cacing
kepanasan kerana menunggu kakak di luar bilik
pembedahan hampir dua jam lamanya.
CICAK
Ekor cicak
Makna: Anak rambut yang terjuntai antara pipi dengan
telinga.
Contoh:
Perbuatan menyimpan ekor
cicak tatkala di bangku sekolah bagi pelajar lelaki
adalah dilarang.
IKAN
Ikan belukang
Makna: Seorang yang suka melakukan putar belit demi mendapat
faedah atau keuntungan.
Contoh:
(a) Memang patut pun dia ditangkap oleh polis, selama ini dia
sememangnya ikan
belukang.
(b) Perniagaannya tidak pernah berjaya kerana dia seperti
ikan belukang,
tidak pernah jujur dalam urusan jual beli.
Nyawa-nyawa ikan
Makna: Hampir-hampir mati.
Contoh:
(a) Ketika pihak JPAM menyelamatkannya, dia masih nyawa-nyawa ikan.
(b) Azlan: Nasib baik sungguh budak itu, ketika diselamatkan dia
masih nyawa-nyawa
ikan.
Rosli: Kalau tidak mungkin dia akan meninggal dunia.
ITIK
Itik bertaji
Makna: Pengecut tetapi suka bercakap besar.
Contoh:
"Tak usah berperangai macam itik bertaji. Jadilah diri
kamu yang sebenar."
Itik pulang petang
Makna: Berjalan lambat.
Contoh:
"Berjalanlah cepat sikit, macam itik pulang
petang sahaja. Nanti terlepas pula kereta api," kata
saya kepada adik-adik.
KANCIL
Akal kancil
Makna: Akal seseorang yang bijak.
Contoh:
(a) Patutlah dia menang dalam kuiz itu, dia bukan sahaja rajin
membaca, sebenarnya dia memiliki akal kancil.
(b) Pesan Cikgu Tan:
Pelajar-pelajar sekalian, demi kerjayaan anda, anda perlu rajin
membaca. Jika anda memiliki akal kancil sekalipun,
jika anda malas, nescaya kejayaan yang diidamkan pasti sukar
dicapai.
KATAK
Mati katak
Makna: Kematian yang sia-sia.
Contoh:
Dia telah ditembak dalam rompakan itu, matinya mati katak.
KERA
Kera sumbang
Makna: 1. Orang yang tidak suka bercampur dengan orang
lain. 2. Orang yang suka mengasingkan dirinya daripada orang
lain.
Contoh:
(a) Pujuklah dia untuk bercampur dengan orang lain, jangan asyik
jadi kera
sumbang sahaja.
(b) Pantun:
Ke Tasik Bera memancing ikan,
Dapat ikan digoreng lada;
Kera
sumbang jangan diamalkan,
Saudara jauh teman tiada.
Mati kera
Makna: Merana diri kerana gagal dalam percintaan.
Contoh:
(a) Nampaknya dia mati
kera, asyik termenung siang dan malam.
(b) Dia mengambil masa untuk pulih daripada mati kera kerana dia amat
mencintai bekas kekasihnya.
KERANG
Kerang busuk
Makna: Seseorang yang suka tersengih-sengih tanpa sebab.
Contoh:
(a) "Janganlah asyik tunjukkan kerang busuk kamu, saya
berasa perbuatan kamu tidak sopan," demikian pesan Cikgu Talha
kepada Khairil, muridnya.
(b) Aina: Mak, cuba tengok kakak tu. Dia senyum seorang diri.
Emak: Kakak kamu itu, emak tengok sudah macam kerang busuk. Asyik tersenyum
seorang diri saja.
KETAM
Ketam batu
Makna: 1. Kedekut. 2. Bakhil.
Contoh:
Dollah berkata kepada Salleh, "Tak usah pinjam apa-apa daripada Pak
Abu terutama sekali duit, dia tu ketam batu."
KUCING
Alim-alim kucing
Makna: Orang yang berpura-pura menunjukkan kelakuan baik tatkala
berada di hadapan orang lain.
Contoh:
Dia bukannya seorang yang jujur, sebenarnya dia alim-alim
kucing sahaja.
Kucing bertanduk
Makna: Sesuatu yang tidak mungkin akan terjadi.
Contoh:
Zarul: Apa? Engkau hendak berkawan dengan Milah? Anak si hartawan
itu?
Jusoh: Mengapa pulak?
Zarul: Baik tak usah. Cerminlah muka engkau dahulu. Pada pendapat
aku, sampai kucing
bertanduk pun Milah tidak akan berkawan dengan engkau,
pipit mana sama dengan enggang.
Kucing kurap
Makna: Miskin dan hina.
Contoh:
"Jangan kita letakkan diri ini seperti kucing kurap di mata
orang. Meskipun kita orang miskin, carilah ilmu sebanyak mungkin.
Hanya ilmu sahaja yang mampu mengubah kehidupan seseorang,"
demikian kata Pak Cik Ali kepada kami suata pagi.
KUDA
Ekor kuda
Makna: Rambut seorang perempuan yang diikat seumpama ekor seekor
kuda.
Contoh:
Ayu sekali gadis itu apabila mengikat rambut ala ekor kuda.
Kuda kayu
Makna: Bodoh.
Contoh:
Jurulatih: Awak ni tak ubah seperti kuda kayu. Bola dah di kaki.
Awak masih gagal memasukkan bola ke dalam gawang.
Pemain: Saya terlalu gabra.
Jurulatih: Tak usah bagi alasan.
Pemain: Maafkan saya, tuan jurulatih.
KUPU-KUPU
Kupu-kupu malam
Makna: Pelacur.
Contoh:
"Kupu-kupu
malam yang berkeliaran di lorong belakang deretan kedai
di bandar ini sesungguhnya amat memalukan kita semua. Di mata
pelancong, mereka pasti akan membawa khabar yang negatif tentang
bandar ini. Jadi kupu-kupu malam ini
seharusnya dibanteras habis-habisan. Kerjasama daripada anda semua
amat diperlukan," demikian ucapan salah seorang penduduk tatkala
menyuarakan rasa tidak puas hatinya tentang situasi semasa.
KUTU
Kutu buku
Makna: Orang yang suka membaca buku.
Contoh:
Sejak kecil lagi dia memang kutu buku, tidak hairanlah dia
berjaya menjadi seorang doktor pakar yang berjaya pada hari
ini.
Kutu embun
Makna: Orang yang suka berfoya-foya sehingga larut malam.
Contoh:
"Arif, marilah kita balik, dah larut malam. Aku rasa tak guna kita
menjadi kutu
embun.
Kita sebenarnya sedang merosakkan diri kita".
Kutu jalan
Makna: Orang yang suka merayau di jalanan tanpa tujuan.
Contoh:
Sejak polis menjalankan rondaan lebih kerap di kawasan itu, tiada
lagi kutu
jalan yang memenuhi kawasan tersebut.
LEPU
Diam-diam lepu
Makna: Seseorang yang nampak baik tetapi sebenarnya berperangai
jahat.
Contoh:
Selama ini semua orang menyayangi dirinya kerana dia tidak pernah
menimbulkan masalah kepada rakan sekerja namun setelah kejadian itu
ramai tidak menyangka rupa-rupanya dia seorang yang diam-diam lepu.
LALAT
Lalat buta
Makna: Berpusing-pusing.
Contoh:
Apabila ingin berjumpa dengan pegawai atasan di pejabat itu, saya
bagaikan lalat
buta, akhirnya saya berjaya juga berjumpa dengan beliau di
pejabatnya.
Mabuk lalat
Makna: Mabuk sedikit-sedikit.
Contoh:
Apabila berkereta saya selalu mabuk lalat.
Pening lalat
Makna: Pening sedikit-sedikit.
Contoh:
Mengadap komputer untuk jangka masa yang panjang membuatkan mata
saya letih dan kepala pula pening lalat.
LEMBU
Lembu dogol
Makna: Seseorang yang penakut tetapi suka bercakap besar.
Contoh:
Janganlah kita bersikap lembu dogol, kita seharusnya
ada sifat merendah diri, bak kata peribahasa 'ikutlah resmi padi,
semain berisi, semakin runduk'.
LINTAH
Lintah darat
Makna: Pihak yang mahu mengaut keuntungan yang berlebihan.
Contoh:
Tak usahlah pinjam duit daripada along, mereka sebenarnya
lintah darat.
Lintah lapar
Makna: Suka menipu sesiapa sahaja.
Contoh:
Rasanya setakat ini sahaja syarahan saya tentang satu sendiwaraa
hidup manusia di dunia ini. Sebelum saya meninggalkan pentas ini,
elok sekali saya menyajikan dua rangkap pantun sebagai renungan
bersama:
Ke hutan mengembara saya tak larat,
Membuang air singgah di tandas;
Lintah
lapar lintah darat,
Suka menipu suka menindas.
Berperahu ke lautan secara solo,
Bawa bersama bungkusan arang;
Jangan kita bersikap ego,
Menjadi ego dibenci orang.
MERPATI
Jinak-jinak merpati
Makna: Gadis yang sukar dipikat sungguhpun nampak seolah-olah
mudah didekati.
Contoh:
Sebernanya abang saya sudah lama suka akan anak gadis jiran kami,
tetapi gadis itu jinak-jinak merpati.
MERAK
Merak kayangan
Makna: Wanita jelita yang diidamkan oleh lelaki sebaliknya
wanita jelita ini tidak mungkin dapat dimiliki.
Contoh:
Manaf: Lihat Puteri Milah tu, dia umpama merak kayangan.
Roslan: Jangan lupam dia sememangnya merak kayangan sedangkan kita
hanyalah gagak di rimba.
Manaf: Pipit takkan mungkin sama dengan enggang.
MUSANG
Musang berbulu ayam
Makna: Orang jahat tetapi menyamar menjadi orang baik untuk
menyembunyikan kejahatannya.
Contoh:
Dia tidak menyangka bahawa suaminya ialah musang berbulu ayam. Selama
ini suaminya begitu sempurna di matanya.
Musang pulut
Makna: Ornag yang tidak boleh dipercayai.
Contoh:
"Si Tijah tu, memang musang pulut. Lain kali saya
tidak akan mempercayainya lagi", rungut Kamilah.
PACAT
Pacat kenyang
Makna: Meninggalkan sesuatu tempat setelah kenyang.
Contoh:
Dia tidak akan duduk sambil berbual dengan kita, saya kenal akan
sikapnya, dia sebenarnya pacat kenyang.
PUYUH
Demam puyuh
Makna: Berpura-pura demam.
Contoh:
"Mak dah agak dah, Si Anas tu memang demam puyuh, pastii di sekolah
ada ujian atau peperiksaan."
RUSA
Rusa kena tambat
Makna: Keluh-kesah.
Contoh:
Anis: Mengapa? Saya nampak awak persis rusa kena tambat?
Sara: Esok ujian penting. Saya masih belum mengulang kaji. Saya
terpaksa menjaga umi yang sakit di hospital. Apa yang harus saya
lakukan?
UMANG
Jadi umang-umang
Makna: 1. Hidup yang terumbang-ambing. 2. Tidak
mampu berdikari setelah sesuatu kejadian berlaku.
Contoh:
Setelah ibu bapanya meninggal dalam satu kemalangan jalan raya,
Jinah kini menjadi
umang-umang.
ULAR
Ular berkepala dua
Makna: Munafik.
Contoh:
Mariam: Jangan jadi ular
berkepala dua, janganlah laga-lagakan aku dengan
Timah.
Safiah: Aku ular
berkepala dua?
Mariam: Aku dengan Timah cuma salah faham sahaja. Kini kami sudah
pun berbaik semula.
ULAT
Ulat buku
Makna: Sangat suka membaca.
Contoh:
Sheila: Patutlah dia pandai.
Ramu: Mengapa?
Sheila: Dia tu ulat
buku.
Ramu: Ulat
buku tu apa?
Sheila: Orang yang sangat suka membaca buku.
Ulat bulu
Makna: Suka mengusik.
Contoh:
Milah: Karim, jangan usik saya. Awak ni tak ubah macam ulat bulu.
Karin: Saya mengusik awak sebab awak pendiam. Awak tak tahu marah.
Sebenarnya saya cuma bergurau sahaja.
Milah: Daripada menjadi ulat bulu, lebih baik awak
menjadi ulat buku.
UNTA
Unta serah diri
Makna: Orang atau pihak yang bodoh dan lurus menjadi mangsa
pihak yang cerdik.
Contoh:
Nani: Kesian Limah, meskipun dia berbeza sedikit daripada
budak-budak lain, tetapi dia baik. Malang sekali dia selalu dibuli.
Dia umpama unta serah
diri.
Nana: Nanti kita bimbang Limah agar dia menjadi lebih pandai.
Tidaklah lagi dia diperbodoh oleh pihak lain.
Nota: Gua tak tau sumak kat atas, chuma tau sabagian saja.
Berkongsi-kongsi kat sini untok sumak orang peningkatan
saja.