Rejimen Ke-6 Artileri Diraja miliki roket pelancar
Oleh Nawawi Majit
REJIMEN Ke-6 Artileri Diraja, yang berpangkalan di Kem Lok Kawi di
Kota Kinabalu, yang menyambut ulang tahun ke-10 baru-baru ini, kini
dibekalkan roket pelancar berganda (MLRS) yang mampu mencapai 89
kilometer.
Roket pelancar berganda antara senjata termoden di negara ini turut
digunakan oleh pasukan tentera darat.
Pasukan itu berperanan memberi bantuan tembakan artileri kepada
pasukan sahabat dalam semua fasa peperangan sama ada membabitkan
konvensional atau insurgensi.
Bagi menyahut tanggungjawab itu semua anggotanya sentiasa
diletakkan dalam keadaan bersiap sedia daripada semasa ke semasa
serta komited terhadap misi rejimen serta dilatih mengendalikan
senjata moden berkenaan, kata Pegawai Pemerintahnya, Kolonel
Satwant Singh.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun
ke-10 Rejimen Ke-6 Artileri Diraja, baru-baru ini.
Terdahulu, pada majlis berkenaan beliau diberi tabik hormat sebelum
melakukan pemeriksaan perbarisan, memakaikan pangkat kepada anggota
serta menyampaikan sijil perkhidmatan cemerlang.
Acara perbarisan ulang tahun ke-10 rejimen itu diketuai oleh
Penolong Pegawai Memerintah, Mejar Salehudin Ahmad.
Koperal Ngumbang Anak Geru, mendahului senarai pemakaian pangkat
sebagai Pemangku Sarjan diikuti Lans Koperal Jerim Mijin dan Lans
Koperal Azmi Abdul Gafar.
Satwant berkata, kemudahan senjata yang diberikan kerajaan adalah
selaras dengan peranan pasukan itu yang kedua terbesar negara ini
dengan penubuhan 17 unit artileri di kem berkenaan.
Sempena sempena ulang tahun ke-10 rejimen itu, beliau mengharapkan
agar semua anggota terus komited dan taat setia yang tidak berbelah
serta memupuk semangat setia kawan sesama anggota.
Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam dan tekad untuk terus
komited terhadap rejimen dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi,
kerjasama yang erat serta semangat setia kawan yang kental.
Semua perkara itu perlu dipraktikkan kerana ia amat penting bagi
memastikan pasukan kita terus mantap dan mampu memberikan khidmat
terbaik kepada rakyat di negeri ini, katanya.
Ini kerana, pasukan berkenaan dengan penubuhan 17 unit tambahan
artileri di Kem Lok Kawi menjadikannya kedua terbesar dalam pasukan
tentera darat di seluruh negara.
©New Straits Times (M) Berhad
