Sorry guys...cant link the MMF url......made a promise to the
Admin not to so....anyway i could link the write up featured in the
leading local daily(not tabloid)....
http://www.utusan.com.my/utusan/tools/keyword_search.asp
Its in malay...but i guess some of you could understand.....it
didnt make it all up....
TIDAK ramai yang mengenali lelaki ini termasuk mereka yang bertugas
di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kecuali kakitangan bahagian
penyelidikan. Bagi yang biasa melihatnya pula, mereka lebih mesra
memanggilnya sebagai Encik Ridzwan dan bukannya `Tuan' apabila
bertembung.
Dengan jawatannya sebagai Penolong Pengarah Operasi Bahagian
Penyelidikan JPM, memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang
keliru tentang identiti sebenarnya lebih-lebih lagi beliau tidak
pernah memakai pakaian tentera ke pejabat.
``Kerana itu ramai yang tidak percaya saya seorang pegawai tentera.
Mereka juga tidak tahu pengalaman saya dalam tentera,'' kata Mejar
Ridzwan Mohd. Yusof, 43, memulakan ceritanya kepada penulis.
Padahal bekas pelajar Sekolah Menengah Raja Muda Musa, Kuala
Kangsar, Perak ini mempunyai banyak pengalaman menarik sepanjang
berkhidmat dalam tentera darat sejak 23 tahun lalu.
Malah beliau merupakan salah seorang penerima Pisau Kehormat
Angkatan Tentera (Pikat), satu lambang keberanian yang jarang
diterima oleh pegawai atau anggota Angkatan Tentera Malaysia
(ATM).
Namun di atas keberanian yang ditunjukkannya dalam satu operasi
khas di Ladang Sungai Gapis, Serendah Selangor 16 tahun lalu,
beliau telah dianugerahkan pisau itu.
Ridzwan masih ingat, tanggal 6 Jun 1987, beliau yang ketika itu
berpangkat Leftenan Muda bersama sembilan anggotanya dari 91
Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT) Kem Changkat, Batu Gajah Perak
telah digerakkan ke Balai Polis Rawang untuk melaksanakan satu
operasi khas.
Operasi itu ialah selepas kejayaan polis Cawangan Khas menangkap
dua orang wanita yang disyaki pengganas komunis pada kira-kira
pukul 12 tengah hari di Klinik Darham, Rawang semasa salah seorang
daripada mereka mahu menggugurkan kandungan.
Hasil soal siasat yang dijalankan, polis mendapat maklumat bahawa
terdapat lagi dua orang musuh yang sedang menanti kepulangan
kedua-dua wanita itu di satu kawasan ladang getah di Sungai
Gapis.
Mereka dipercayai dari Unit Penggempur Ke-6 Parti Komunis Malaya
(PKM) yang diketuai oleh Cheong Chor.
Selepas diberikan taklimat, pasukan Ridzwan dengan dibantu dua ekor
anjing pengesan dan penjaga, seorang anggota Cawangan Khas serta
seorang ejen khas kerajaan yang merupakan bekas pengganas komunis
telah diarah menjejak musuh terbabit.
``Kami sampai di ladang itu pada pukul 3.30 petang dengan memakai
pakaian awam.
``Semua senjata kami simpan dalam beg guni untuk mengelakkan
kehadiran kami diketahui oleh penduduk setempat,'' katanya.
Selepas turun dari kenderaan, Ridzwan mengarahkan semua anggotanya
bersembunyi di satu kawasan paya yang terletak tidak jauh dari tepi
jalan.
``Apabila semua telah bersedia, barulah kami bergerak menuju ke
satu kawasan tanaman getah melalui satu denai di paya
berkenaan.
``Baru bergerak kira-kira 800 meter, anggota hadapan saya telah
ternampak kelibat empat lelaki di atas sebuah bukit berhampiran
sebuah rumah Orang Asli di situ.
``Melihat pakaian dan peralatan yang dibawa kami syak mereka adalah
musuh yang dicari,'' katanya.
Untuk memastikan musuh tidak terlepas, Ridzwan lalu mengatur satu
serangan dari bawah bukit ke atas musuh yang berada kira-kira 300
meter di hadapan mereka.
``Malangnya apabila kami telah berada kira-kira 30 meter dari rumah
tersebut, dua daripada lelaki terbabit tiba-tiba hilang. Kami syak
mereka telah menghidu kehadiran kami,'' ujar beliau.
Melihat keadaan itu, mereka segera menyerbu ke halaman rumah
tersebut dan mendapati hanya tinggal seorang lelaki Orang Asli
bersama anak lelakinya.
Ridzwan kemudiannya bertanya kepada mereka tentang kedua-dua lelaki
berkenaan, namun mereka tidak mahu memberi kerjasama.
Selepas didesak akhirnya mereka mengaku bahawa ada dua lelaki Cina
yang bersembang dengan mereka tetapi telah lari ke arah
hutan.
``Dia juga kata kedua-dua lelaki itu ada senjata dan ini
menambahkan lagi keyakinan kami bahawa mereka itu adalah
pengganas,'' katanya.
Walaupun begitu, Ridzwan tidak terus mengarahkan anggotanya
mengejar musuh, sebaliknya bertindak menyerbu ke atas rumah Orang
Asli itu untuk memastikan dia tidak berbohong.
Selepas berpuas hati tiada sesiapa di situ, barulah penjejakan
dilakukan dengan bantuan anjing pengesan.
``Semasa penjejakan itu, kami menjumpai satu kawasan pokok getah
yang aneh kerana ia agak bersih serta terdapat banyak simbol
pengganas di pokok seperti anak panah dan daun yang
dipatahkan.
``Kami percaya itu merupakan kawasan pertemuan musuh dan ia turut
dipersetujui oleh bekas pengganas yang ikut kami,'' katanya.
Mereka turut yakin musuh tadi masih berada sekitar situ. Bagaimana
pun, mereka tidak boleh melakukan penggeledahan memandangkan hari
sudah hampir gelap.
``Ini dia punya rumah. Jika kita bertindak juga takut nanti berlaku
kemalangan jiwa pada pihak kita,'' nasihat ejen khas kepada
Ridzwan.
Sebaik ejen khas itu memberi pandangan, beliau berbincang pula
dengan anggota terup yang sebahagian besar merupakan anggota
komando Rejimen Gerak Khas sebelum diserapkan ke RKPT.
Mereka kemudiannya bersetuju untuk bergerak ke sebatang jalan raya
yang jaraknya kira-kira 1.5 kilometer.
Semasa melalui satu denai di belakang bukit dari tempat serangan
awal yang gagal sebelum itu, Ridzwan menukar fikirannya secara
mengejut sambil mengarahkan semua anggotanya naik semula ke atas
bukit berkenaan.
``Kita buat serang hendap di sini malam ini,'' tegas Ridzwan.
Kesemua anggotanya akur dengan arahan tersebut. Tepat pukul 7
malam, beliau mengarahkan semua anggota mengambil kedudukan
masing-masing.
Sementara menunggu kemunculan kelibat musuh, Ridzwan berbincang
dengan Sarjan Rahmat tentang strategi seterusnya seandainya musuh
tidak muncul pada malam itu.
``Tengah asyik berbincang, kira-kira pukul 7.30 malam tiba-tiba
saya mendapat isyarat daripada Koperal Aziz Shafie.
Musuh!!! Jerit Aziz dengan nada suara terkawal sambil menunjukkan
tempat di mana musuh berada selepas seorang anggota terdengar bunyi
ranting patah dipijak orang.
Mendengar sahaja tentang itu, Ridzwan terus mengeluarkan gogal
penglihatan malam yang dibawanya dan ternampak bayangan dua manusia
yang sedang berjalan sambil membawa senjata api.
Beliau kemudiannya berlari ke arah Aziz untuk melihat bayangan yang
disyaki musuh itu dengan lebih dekat.
Apabila musuh semakin hampir, Ridzwan dalam keadaan berdebar-debar
mengarahkan Aziz menumpukan perhatian pada musuh yang berjalan di
depan manakala beliau pada musuh di belakang.
Tiba-tiba Aziz dengan berani mencabar lembaga tersebut sebanyak dua
kali dengan kata jodoh `kaki bangku' untuk mengetahui mereka musuh
atau bukan.
Tetapi tiada jawapan balas dari kedua-dua lelaki itu dan sebaliknya
mereka cuba melarikan diri.
Disebabkan itu, dengan bantuan dua buah gogal yang dibawa, Ridzwan
dan Aziz terus melepaskan tembakan terhadap musuh.
Tidak cukup dengan senjata M-16, mereka gunakan juga senjata Pump
Gun secara bergilir-gilir.
``Pertempuran berlaku selama 20 minit. Selepas itu kami tidak
kedengaran tembakan balas dari musuh.
``Tetapi kami tidak pasti sama ada musuh telah mati atau tidak
walaupun melalui gogal kami nampak mereka seperti tidak bergerak
lagi di celah pokok getah,'' ujarnya.
Untuk mendapatkan kepastian Ridzwan dan Aziz melontar empat butir
bom tangan untuk memastikan musuh benar-benar telah mati, namun
selepas itu masih kedengaran bunyi suara musuh mengerang kesakitan
sehingga pukul 11.30 malam.
Pada pukul 12 malam pasukan bantuan tiba dan selepas itu barulah
mereka membuat penggeledahan.
``Dari penggeledahan kami dapati kedua-dua lelaki itu telah mati.
Turut ditemui ialah dua laras Carbine, dua butir bom tangan, 1,800
butir peluru serta beberapa dokumen dalam tulisan Cina,'' ujar
beliau.
``Sebelum mayat musuh dibawa keluar pada malam itu saya mengambil
secubit otak musuh untuk dimakan bagi mengelakkan terkena badi
mayat.
``Aziz pula mencalit sedikit darah musuh pada lidahnya tetapi saya
tak lalu berbuat macam itu,'' katanya sambil memberitahu salah
seorang yang dibunuh merupakan Ahli Jawatankuasa Daerah PKM.
Ekoran kejayaan itu, pada 16 September 1987, Ridzwan dan Aziz telah
dianugerahkan Pikat oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri
Ghazali Che Mat sempena Hari Ulang Tahun ATM ke-54. Dua tahun
kemudian, Ridzwan dianugerahkan pula Pingat Kepujian Perutusan
Keberanian (KPK).
Walaupun begitu, beliau tidak mungkin dapat melupakan trauma yang
dialami oleh mereka berdua selepas pertempuran tersebut.
``Selama hampir setahun saya asyik merasakan sentiasa diekori oleh
musuh walau ke mana sahaja manakala Aziz selalu terkejut apabila
terdengar bunyi ranting patah ketika dalam hutan.
``Adakalanya tingkah laku Aziz mencemaskan kami,'' katanya yang
kadang kala merasa lucu mengenangkan semula gelagat mereka ketika
itu.
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin,
55200 Kuala Lumpur.